Sambutan Maulidurrasul 2017

13 Januari, Jumaat – Majlis sambutan Maulidur Rasul 1437 H/ 2017 M peringkat Sekolah Menengah Agama Pelangai Bentong Pahang disambut begitu meriah sekali dengan pelbagai bentuk sambutan, persembahan dan pertandingan. Majlis ini disambut secara besar-besaran selama dua hari iaitu pada 12 dan 13 Januari 2017 bersamaan dengan hari Khamis dan Jumaat. Bermula daripada hari Isnin 9 Januari, pertandingan sempena Maulidur Rasul diwar-warkan dikalangan warga SMAP. Diantara pertandingan yang diadakan ialah seperti pertandingan welfie, bergambar secara berkumpulan, pertandingan nasyid dan qasidah, pertandingan speaker corner, pertandingan menghias sudut Rasulullah SAW di dalam kelas, dan pertandingan lukisan seni tipografi.

Acara sambutan yang bermula pada hari khamis 12 Januari, 9.00 pagi disajikan dengan majlis ilmu berbentuk dialog ilmiah yang bertajuk Kesempurnaan Akhlak Rasulullah SAW yang disampaikan oleh pendakwah dan artis nasyid berbangsa Arab Ustaz Mahmood Al Wasobi yang sangat fasih berbahasa Melayu dalam keseluruhan ceramahnya. Pelbagai soal jawab dibuka di dalam majlis ini yang telah banyak memberikan ilmu baru buat pelajar tentang akhlak Baginda SAW.

Setelah tamat rehat, seramai lima orang pelajar lelaki dan lima orang pelajar perempuan mempersembahkan bakat mereka dalam pertandingan Speaker Corner tentang Rasulullah SAW.  Program Speaker Corner yang biasanya diadakan di universiti ini merupakan program sulung yang diadakan di sekolah ini. Dalam pada itu juga, pertandingan yang julung kali diadakan melibatkan penggunaan media sosial ialah pertandingan selfie@welfie (bergambar) bertemakan tag yang disediakaan  #JOMSELAWAT. Hanya lima kumpulan lelaki dan lima kumpulan pelajar perempuan sahaja yang boleh menyertai pertandingan ini yang mana setiap kumpulan mestilah tidak melebihi lima orang ahli untuk bergambar. Semua gambar peserta tersebut akan dimuat naik di dalam instagram rasmi milik Badan Dakwah & Qudwah SMA Pelangai seterusnya pemenangnya akan dikira melalui pemilik ‘like’ terbanyak di Instagram.

Selepas Asar kira-kira jam 5.30 petang, semua pelajar wanita di aspuri menyertai Walkaton Muslimat. Mereka semua berjalan beramai-ramai merentas desa sambil berselawat dan berzikir sambil diawasi oleh pihak pasukan keselamatan dan polis.

Pada malam hari jam 9.30 malam, tibalah acara yang ditunggu-tunggu ialaitu pertandingan nasyid yang diadakan di dewan Faqeh. Hanya tiga kumpulan sahaja yang tampil berani bertanding dalam pertandingan nasyid Maulidur Rasul kali ini.

Pada keesokkan harinya Jumaat 13 Januari, semua guru dan pelajar berhimpun di dataran sekolah bagi mendengar bacaan khutbah seterusnya sama-sama mengumandangkan selawat dan bergerak menuju ke dewan Faqeh. Setibanya di hadapan surau mereka disambut dengan paluan kompang dan selawat. Hadirin juga dipersembahkan dengan persembahan kawad  selawat oleh dua kumpulan yang memenangi pertandingan kawad pada tahun lepas.

Maulidur Rasul kali ini juga dihidangkan sekali lagi dengan majlis ilmu iaitu Diskusi Kitab Lagenda As Syamail Al Muhammadiah yang dikendalikan oleh seorang pendakwah yang alim Ustaz Muhammad Zahari. Beliau membentangkan secara ringkas apakah isi yang terkandung dalam kitab lagenda itu dan juga membuka sesi soal jawab. Pada ketika itu juga, stiker #JOM SELAWAT diedarkan kepada semua warga SMAP demi menggalakkan semua memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW.  Selepas tamat majlis ilmu, hadirin disajikan dengan tayang sirah Rasulullah SAW dan juga persembahan nasyid.

Leave a comment